Sunday, June 24, 2012

RaMaDhAn DaTaNg LaGi.......

 Greeting Text

 

Ramadhan menjelma lagi buat tahun 1433H. Tahun lepas, Ramadhan sudah kita lalui. Tahun sebelum itu, begitu juga. Dan begitulah tahun-tahun sebelumnya. Tahun hadapan, jika umur panjang, Ramadhan akan kita lalui. Tahun ke hadapannya lagi juga begitu. Dan begitulah juga tahun-tahun yang mendatang selepasnya.

Kita telah, dan akan, melalui Ramadhan berkali-kali.

Tinggal persoalannya di sini,

“Apakah Ramadhan bermakna buat diri kita?”

Kita Sering Memandangnya Sebagai Adat.

Sebagai remaja, kita mudah memandang Ramadhan sebagai adat. Apakah maksudnya memandang Ramadhan sebagai adat? Yakni kita sekadar melalui Ramadhan, kerana ayah ibu dan datuk nenek kita melaluinya. Kerana masyarakat kita berpuasa. Kerana rakan-rakan kita bertarawih. Hanya kerana itu. Ikut-ikutan.

Tidak ramai yang hendak mendalami ruh Ramadhan, dan mengambil makna-maknanya. Tidak ramai yang melihat Ramadhan, sebagai satu ‘kem’ khas untuk membina keimanan. Kerana diri sudah ‘terbiasa’ untuk memandangnya hanya sebagai adat.
Bahkan, ada yang memandangnya sebagai ‘beban’.

 

Ramadhan, Bebanan Sebelum Syawal?

Bulan Syawal adalah bulan kita berhari-raya. Ramai menanti Syawal. Bahkan, promosi-promosi perniagaan untuk Syawal telah bermula dari awal Ramadhan lagi. Ramai yang fokusnya terarah kepada perayaan AidilFitri semata-mata. Dan Ramadhan seakan-akan tiada.

Ramai manusia berlapar dan dahaga di bulan Ramadhan dalam keadaan memikirkan Syawal. Bahkan, anak-anak di Malaysia dididik bahawa: “Jika tidak berpuasa, tidak boleh raya.” Membuatkan satu ‘kerangka pemikiran’ di dalam kehidupan kita terbentuk – Puasa untuk Raya.

Sedangkan, Syawal itu hakikatnya hanyalah sebuah bulan. Perayaan AidilFitri pula hakikatnya hanyalah pada 1 Syawal sahaja. Wujud untuk meraikan mereka yang berjaya melalui proses didikan Ramadhan, bukan sekadar puasa dan Tarawih, tetapi juga menjaga mata, tangan, kaki, dan anggota badan yang lain dari apa-apa sahaja kemaksiatan dan keingkaran kepada Allah SWT. Ditambah dengan penambahan amalan-amalan kebaikan yang lain, untuk menjadi manusia yang lebih bertaqwa.

Itulah tujuan Aidilfitri. Dan jika diperhatikan, Aidilfitri itu bermaksud: “Perayaan Fitrah”. Yakni merayakan manusia yang berjaya kembali ke fitrahnya, yakni Islam. Hidup dalam tatacara Islam, selepas melalui tarbiyah Ramadhan.

Aidilfitri bukan merayakan orang yang berpuasa untuk beraya!

 

Mengubah Pandangan Terhadap Ramadhan.

Maka adalah wajib bagi kita, untuk memaksimakan Ramadhan dalam mempertingkatkan amalan kita. Ramadhan adalah bulan tarbiyah, bulan untuk mendidik jiwa dan membentuk peribadi kita. Bukan bulan yang kita berlapar di dalamnya kerana adat. Bukan bulan yang kita mendirikan solat yang banyak kerana ikut-ikutan.

Ramadhan adalah masanya, kita berusaha mempertingkatkan amalan kita, agar selepas Ramadhan, kalau tidak dapat beramal sebanyak Ramadhan pun, kita akan mampu beramal lebih kurang macam dalam Ramadhan. Menanti pula Ramadhan yang mendatang untuk meningkatkan lagi kekuatan jiwa dan keindahan peribadi kita!

Kita patut memandang Ramadhan sebagai kem latihan, untuk membawa kita kembali kepada fitrah kita. Yakni Islam. Untuk kita mencuci dosa-dosa kita, dan mempertingkatkan amalan kita. Untuk menjadi hamba yang diredhaiNya, pada 11 bulan yang lain juga.
Itulah dia Ramadhan yang sebenarnya!

 

Penutup: Marilah Kita Menghargai Ramadhan!

Maka jangan kita bazirkan Ramadhan. Kerana Ramadhan belum tentu datang lagi kepada kita tahun hadapannya. Kita mungkin mati sebelum bertemu lagi dengannya. Maka jangan bazirkan Ramadhan kali ini, dengan sekadar lapar dan dahaga, letih dan penat.

Tetapi laluilah ia dengan penuh kesungguhan. Dengan niat hendak mempertingkatkan diri. Dengan niat hendak menjadi hamba Allah yang lebih baik lagi.

Buatlah perancangan, jadual, strategi untuk kita isi Ramadhan ini dengan pelbagai perkara bermakna. Jangan bazirkan waktu, kerana di dalam Ramadhan setiap saat itu berharga untuk membebaskan kita daripada api nerakaNya.

Marilah kita semua bermuhasabah.

 

hargailah bulan Ramadhan sebaiknya!