- Bahagia itu relatif?
Malangnya, keinginan manusia untuk bahagia sering tidak kesampaian.
Ini disebabkan ramai manusia tidak tahu apa makna bahagia sebenarnya dan
mereka juga tidak tahu bagaimanakah caranya untuk mendapatkannya. Jika
kita mencari sesuatu yang tidak diketahui dan dikenali, sudah pasti kita
tidak akan menemuinya. Oleh itu, usaha mencari kebahagiaan itu mestilah
bermula dengan mencari apa erti kebahagiaan itu terlebih dahulu.
Apakah erti bahagia?
Ada yang beranggapan erti bahagia itu relatif.
Ia berubah-ubah dan berbeza antara seorang individu dengan yang lain.
Bagi yang sakit, sihat itu dirasakan bahagia. Tetapi apabila sudah
sihat, kebahagiaan itu bukan pada kesihatan lagi. Sudah beralih kepada
perkara yang lain lagi. Bagi golongan ini kebahagiaan itu adalah satu
“moving target” yang tidak spesifik ertinya.
Ada pula golongan pesimis. Mereka beranggapan bahawa tidak ada
bahagia di dunia ini. Hidup adalah untuk menderita. Manusia dilahirkan
bersama tangisan, hidup bersama tangisan dan akan dihantar ke kubur
dengan tangisan. Bahagia adalah satu utopia, ilusi atau angan-angan. Ia
tidak ujud dalam realiti dan kenyataan.
- Sumber dalaman atau luaran?
Sebelum mendapat jawapan tentang erti kebahagiaan yang sebenar, mesti
dipastikan sumber kebahagiaan itu. Ia datang dari mana? Apakah bahagia
itu datang dari luar ke dalam (outside-in) atau dari dalam ke luar
(inside-out)?
Ramai yang merasakan bahawa bahagia itu bersumber dari faktor luaran.
Ia bersumber daripada harta, kuasa, rupa, nama dan kelulusan yang
dimiliki oleh seseorang. Golongan ini merasakan jika berjaya menjadi
hartawan, negarawan, bangsawan, rupawan, kenamaan dan cendekiawan maka
secara automatik bahagialah mereka.
Atas keyakinan itu ramai yang berhempas pulas dan sanggup melakukan
apa sahaja untuk memiliki
harta, kuasa dan lain-lain lagi. Kita tidak
bahaskan mereka yang miskin, hodoh, tidak popular dan bodoh, lalu gagal
merasakan bahagia tetapi mari kita tinjau apakah hidup para hartawan,
rupawan, bangsawan, kenamaan dan cendekiawan itu bahagia?
- Realiti hidup jutawan, rupawan dan selebriti.
Realitinya, sudah menjadi “rules of life” (sunatullah), manusia tidak
mendapat semua yang diingininya. Tidak ada seorang manusia pun yang
dapat mengelakkan diri daripada sesuatu yang tidak disenanginya. Hidup
adalah satu ujian yang menimpa semua manusia, tidak kira kedudukan,
harta dan pangkatnya. Firman Allah:
“Dijadikan mati dan hidup adalah untuk menguji manusia siapakah yang terbaik amalannya.” Al Mulk.
Si kaya mungkin memiliki harta yang berjuta, tetapi mana mungkin dia
mengelakkan diri daripada sakit, tua dan mati? Inilah yang berlaku
kepada Cristina Onasis pewaris kekayaan ayahnya Aristotle Onasis, yang
mati pada usia yang masih muda walaupun memiliki harta yang berbilion
dollar. Mereka yang rupawan, tidak boleh mengelakkan diri daripada
cercaan. Madonna, Paris Hilton (sekadar menyebut berapa nama) pernah
dikutuk akibat kelakuan buruk masing-masing. Lady Diana yang memiliki
semua pakej kelebihan wanita idaman akhirnya mati dalam keadaan yang
tragis dan menyedihkan sekali.
John Lenon tidak dapat mengelakkan diri daripada dibunuh walaupun
dirinya dipuja oleh jutaan peminat. Elizabeth Taylor pula sedang
membilang usia yang kian meragut kecantikan dan potongan badannya. Itu
belum dikira lagi nasib malang yang menimpa negarawan dan bangsawan
tersohor seperti Al Malik Farouk (Masir), Shah Iran (Iran), Ferdinand
Marcos (Filipina), Louis XVI (Perancis), Tsar (Rusia) dan lain-lain
lagi. Tegasnya, kesakitan, cercaan, dijatuhkan dan lain-lain ujian hidup
telah menumpaskan ramai hartawan, rupawan, negarawan dan cendekiawan
dalam perlumbaan mencari kebahagiaan.
- Bukti hilangnya bahagia.
Apa buktinya, mereka hilang bahagia? Tidak payah kita berhujah
menggunakan Al Quran dan Al Hadis, melalui paparan media massa sahaja
sudah cukup menjadi bukti betapa tidak bahagianya mereka yang memiliki
segala-galanya itu. Aneh, apabila selebriti dari Hollywood, yakni mereka
yang memiliki rupa yang cantik, harta yang berbilion dolar, nama yang
tersohor tetapi dilanda pelbagai masalah kronik. Senarai nama yang
berkenaan cukup panjang.
Mereka yang terlibat dengan arak, rumah tangga cerai berai, dadah,
jenayah, sakit jiwa dan bunuh diri ini sudah tentu tidak bahagia. Jika
mereka bahagia dengan nama, harta dan rupa yang dimiliki tentulah mereka
tidak akan terlibat dengan semua kekacauan jiwa dan kecelaruan peribadi
itu. Tentu ada sesuatu yang “hilang” di tengah lambakan harta, rupa
yang cantik dan nama yang popular itu.
- Ujian hidup punca hilang bahagia?
Mari kita lihat persoalan ini lebih dekat. Apakah benar ujian hidup
menghilangkan rasa bahagia dalam kehidupan ini? Apakah sakit, usia tua,
cercaan manusia, kemiskinan, kegagalan, kekalahan dan lain-lain ujian
hidup menjadi sebab hilangnya bahagia? Jawabnya, tidak!
Jika kita beranggapan bahawa ujian hidup itu penyebab hilangnya
bahagia maka kita sudah termasuk dalam golongan pesimis yang beranggapan
tidak ada kebahagiaan di dunia. Mengapa begitu? Kerana hakikatnya hidup
adalah untuk diuji. Itu adalah peraturan hidup yang tidak boleh
dielakkan. Sekiranya benar itu penyebab hilangnya bahagia, maka tidak
ada seorang pun manusia yang akan bahagia kerana semua manusia pasti
diuji.
Atas dasar itu, ujian hidup bukan penyebab hilangnya bahagia. Sebagai
perumpamaannya, jika air limau nipis diletakkan di atas tangan yang
biasa, maka kita tidak akan berasa apa-apa. Sebaliknya, jika air limau
itu dititiskan di atas tangan yang luka maka pedihnya akan terasa. Jadi
apakah yang menyebabkan rasa pedih itu? Air limau itu kah atau tangan
yang luka itu? Tentu jawapannya, luka di tangan itu.
- Metafora air limau dan luka di tangan
Air limau itu adalah umpama ujian hidup, manakala tangan yang luka
itu ialah hati yang sakit. Hati yang sakit ialah hati yang dipenuhi oleh
sifat-sifat mazmumah seperti takbur, hasad dengki, marah, kecewa, putus
asa, dendam, takut, cinta dunia, gila puji, tamak dan lain-lain lagi.
Ujian hidup yang menimpa diri hakikatnya menimbulkan sahaja sifat
mazmumah yang sedia bersarang di dalam hati. Bila diuji dengan cercaan
manusia, timbullah rasa kecewa, marah atau dendam. Bila diuji dengan
harta, muncullah sifat tamak, gila puji dan takbur.
Justeru, miskin, cercaan manusia dan lain-lain itu bukanlah penyebab
hilang bahagia tetapi rasa kecewa, marah dan tidak sabar itulah yang
menyebabkannya. Pendek kata, ujian hidup hakikatnya hanya menyerlahkan
sahaja realiti hati yang sudah tidak bahagia lama sebelum ia menimpa
seseorang.
Dengan segala hujah di atas terbuktilah bahawa pendapat yang
mengatakan bahagia itu datang dari luar ke dalam adalah tertolak sama
sekali. Ini kerana faktor “kesihatan” hati jelas lebih dominan dalam
menentukan bahagia atau tidaknya seseorang berbanding segala faktor
luaran. Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa kebahagiaan itu
datang dari dalam ke luar – soal hati.
- Inilah erti bahagia
Secara mudah kebahagiaan itu ialah memiliki hati yang tenang dalam
menghadapi apa jua ujian dalam kehidupan. Inilah erti bahagia yang
sebenar selaras petunjuk Allah di dalam Al Quran. Firman Allah:
“Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.” Al Ra’du 28.
Rasulullah S.A.W. juga telah bersabda:
” Bahawasanya di dalam tubuh badan manusia ada seketul daging. Apabila
ia baik, baik pulalah seluruh badan, tetapi apabila ia rosak maka rosak
pulalah seluruh badan. Ingatlah ia adalah hati. ” (riwayat Bukhari
Muslim)
Rasulullah S.A.W bersabda lagi:
” Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda tetapi kekayaan itu sebenarnya ialah kaya hati “
Kaya hati bermaksud hati yang tenang, lapang dan merasa cukup dengan apa
yang dimiliki – bersyukur dengan apa yang ada, sabar dengan apa yang
tiada.
Oleh itu hati perlu dibersihkan serta dipulihara dan dipelihara
“kesihatannya” agar lahir sifat-sifat mahmudah seperti amanah, sabar,
syukur, qanaah, reda, pemaaf dan sebagainya. Kemuncak kebahagiaan ialah
apabila hati seseorang mampu mendorong pemiliknya melakukan kebaikan dan
menghindari kejahatan dan larangan yang ditentukan oleh Islam dengan
mudah dan secara “auto pilot”.
0 comments :
Post a Comment