Ramadhan
menjelma lagi buat tahun 1433H. Tahun lepas, Ramadhan sudah kita lalui.
Tahun sebelum itu, begitu juga. Dan begitulah tahun-tahun sebelumnya.
Tahun hadapan, jika umur panjang, Ramadhan akan kita lalui. Tahun ke
hadapannya lagi juga begitu. Dan begitulah juga tahun-tahun yang
mendatang selepasnya.
Kita telah, dan akan, melalui Ramadhan berkali-kali.
Tinggal persoalannya di sini,
“Apakah Ramadhan bermakna buat diri kita?”
Kita Sering Memandangnya Sebagai Adat.
Sebagai remaja, kita mudah memandang Ramadhan sebagai adat. Apakah
maksudnya memandang Ramadhan sebagai adat? Yakni kita sekadar melalui
Ramadhan, kerana ayah ibu dan datuk nenek kita melaluinya. Kerana
masyarakat kita berpuasa. Kerana rakan-rakan kita bertarawih. Hanya
kerana itu. Ikut-ikutan.
Tidak ramai yang hendak mendalami ruh Ramadhan, dan mengambil
makna-maknanya. Tidak ramai yang melihat Ramadhan, sebagai satu ‘kem’
khas untuk membina keimanan. Kerana diri sudah ‘terbiasa’ untuk
memandangnya hanya sebagai adat.
Bahkan, ada yang memandangnya sebagai ‘beban’.
Ramadhan, Bebanan Sebelum Syawal?
Bulan Syawal adalah bulan kita berhari-raya. Ramai menanti Syawal.
Bahkan, promosi-promosi perniagaan untuk Syawal telah bermula dari awal
Ramadhan lagi. Ramai yang fokusnya terarah kepada perayaan AidilFitri
semata-mata. Dan Ramadhan seakan-akan tiada.
Ramai manusia berlapar dan dahaga di bulan Ramadhan dalam keadaan
memikirkan Syawal. Bahkan, anak-anak di Malaysia dididik bahawa: “Jika
tidak berpuasa, tidak boleh raya.” Membuatkan satu ‘kerangka pemikiran’
di dalam kehidupan kita terbentuk – Puasa untuk Raya.
Sedangkan, Syawal itu hakikatnya hanyalah sebuah bulan. Perayaan
AidilFitri pula hakikatnya hanyalah pada 1 Syawal sahaja. Wujud untuk
meraikan mereka yang berjaya melalui proses didikan Ramadhan, bukan
sekadar puasa dan Tarawih, tetapi juga menjaga mata, tangan, kaki, dan
anggota badan yang lain dari apa-apa sahaja kemaksiatan dan keingkaran
kepada Allah SWT. Ditambah dengan penambahan amalan-amalan kebaikan yang
lain, untuk menjadi manusia yang lebih bertaqwa.
Itulah tujuan Aidilfitri. Dan jika diperhatikan, Aidilfitri itu
bermaksud: “Perayaan Fitrah”. Yakni merayakan manusia yang berjaya
kembali ke fitrahnya, yakni Islam. Hidup dalam tatacara Islam, selepas
melalui tarbiyah Ramadhan.
Aidilfitri bukan merayakan orang yang berpuasa untuk beraya!
Mengubah Pandangan Terhadap Ramadhan.
Maka adalah wajib bagi kita, untuk memaksimakan Ramadhan dalam
mempertingkatkan amalan kita. Ramadhan adalah bulan tarbiyah, bulan
untuk mendidik jiwa dan membentuk peribadi kita. Bukan bulan yang kita
berlapar di dalamnya kerana adat. Bukan bulan yang kita mendirikan solat
yang banyak kerana ikut-ikutan.
Ramadhan adalah masanya, kita berusaha mempertingkatkan amalan kita,
agar selepas Ramadhan, kalau tidak dapat beramal sebanyak Ramadhan pun,
kita akan mampu beramal lebih kurang macam dalam Ramadhan. Menanti pula
Ramadhan yang mendatang untuk meningkatkan lagi kekuatan jiwa dan
keindahan peribadi kita!
Kita patut memandang Ramadhan sebagai kem latihan, untuk membawa kita
kembali kepada fitrah kita. Yakni Islam. Untuk kita mencuci dosa-dosa
kita, dan mempertingkatkan amalan kita. Untuk menjadi hamba yang
diredhaiNya, pada 11 bulan yang lain juga.
Itulah dia Ramadhan yang sebenarnya!
Penutup: Marilah Kita Menghargai Ramadhan!
Maka jangan kita bazirkan Ramadhan. Kerana Ramadhan belum tentu
datang lagi kepada kita tahun hadapannya. Kita mungkin mati sebelum
bertemu lagi dengannya. Maka jangan bazirkan Ramadhan kali ini, dengan
sekadar lapar dan dahaga, letih dan penat.
Tetapi laluilah ia dengan penuh kesungguhan. Dengan niat hendak
mempertingkatkan diri. Dengan niat hendak menjadi hamba Allah yang lebih
baik lagi.
Buatlah perancangan, jadual, strategi untuk kita isi Ramadhan ini
dengan pelbagai perkara bermakna. Jangan bazirkan waktu, kerana di dalam
Ramadhan setiap saat itu berharga untuk membebaskan kita daripada api
nerakaNya.
Marilah kita semua bermuhasabah.
hargailah bulan Ramadhan sebaiknya!
Related Posts :
1 comments :
Hi nicce reading your post
Post a Comment